KUCHING, 28 Jun: Suasana kegembiraan mewarnai perasmian Gereja St Peter Padungan hari ini apabila penganut Katolik menyambut pembukaan rumah ibadat baharu itu dengan rasa syukur dan bangga.
Seorang pekerja swasta, Lukas Sangkin, 61, menyifatkan pembukaan gereja tersebut sebagai detik yang amat dinanti-nantikan oleh komuniti setempat memandangkan fasiliti terdahulu tidak lagi mampu menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.
“Saya rasa amat gembira kerana gereja ini sudah lama kami impikan. Gereja lama terlalu sempit, dan ada kalanya kami terpaksa duduk di luar ketika misa. Kalau hujan, kami pun kebasahan. Sekarang, kami berasa lebih selesa dan bangga dengan gereja baharu yang indah ini,” katanya kepada TVS ketika ditemui pada majlis perasmian.
Bagi pesara Somin Jopi, 66, gereja ini bukan sekadar ruang untuk beribadat, malah berpotensi menjadi tumpuan baharu pelancongan agama di negeri ini.
“Sebagai penganut Katolik, pembukaan gereja ini amat bermakna. Ramai kenalan seagama dari dalam dan luar negara sudah menyatakan hasrat untuk datang melawat dan menyertai aktiviti di sini. Saya percaya gereja ini akan menjadi mercu tanda baharu yang membanggakan Sarawak,” ujarnya.
Suri rumah Teresa Julis, 65, pula berharap kehadiran gereja yang moden dan selesa ini mampu menarik lebih ramai belia untuk melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan gereja.
“Saya benar-benar berharap gereja ini menjadi pemangkin untuk anak-anak muda mendekati agama dan menyumbang tenaga kepada komuniti. Dengan adanya tempat ibadat yang sebegini, saya yakin ia mampu mengukuhkan iman mereka. Sebagai ahli Persatuan Wanita gereja, saya juga berbangga dapat bersama-sama menyumbang tenaga dalam menjayakan majlis perasmian hari ini,” katanya penuh semangat.
Majlis perasmian ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan komuniti Katolik di Sarawak, tetapi juga semangat kebersamaan dan komitmen jangka panjang dalam memperkasa institusi keagamaan demi generasi masa depan.
-TVS