KOTA KINABALU, 28 Jun: Amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan penting untuk memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kekal relevan dan berdaya saing di pasaran antarabangsa, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
“ESG bukan sekadar satu trend, ESG adalah masa depan,” tegasnya ketika merasmikan Seminar Kesedaran ESG untuk PMKS di Pacific Sutera Hotel, di sini, hari ini.
Menurutnya, syarikat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC) kini menetapkan pematuhan ESG sebagai antara syarat utama dalam proses perolehan dan pelaburan mereka.
“Ini bukan hanya tentang pemeliharaan alam sekitar, tetapi juga menyentuh pengurusan perniagaan secara bertanggungjawab terhadap masyarakat dan pekerja, serta tadbir urus yang telus dan beretika,” katanya.
Seminar anjuran SME Corp. Malaysia itu bertujuan meningkatkan kefahaman serta kesediaan PMKS dalam mengadaptasi ESG dalam operasi harian mereka, selari dengan perubahan pasaran global.
Ewon turut memaklumkan bahawa SME Corp. telah memperkenalkan ESG Guidelines for MSME yang dilancarkan awal tahun lalu sebagai panduan asas untuk usahawan memahami dan mula mengamalkan prinsip ESG.
“Walaupun pematuhan ESG belum diwajibkan, keperluannya semakin mendesak, khususnya untuk menembusi rantaian bekalan domestik dan global,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dianggap sebagai langkah strategik membangunkan kapasiti PMKS di Sabah melalui pelaksanaan ESG.
Katanya, kerjasama antara kerajaan, institusi akademik dan pihak industri akan memperkukuh ekosistem PMKS yang mampan dan berdaya tahan dalam jangka panjang.
Ewon turut menyeru semua PMKS di Sabah untuk memanfaatkan peluang memperkasa kapasiti perniagaan masing-masing dengan mengadaptasi amalan ESG secara berperingkat.
Turut hadir, Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy. -TVS