DHAKA, 28 Jun: Tidak ramai yang membicarakan tentang Dhaka sebagai sebuah destinasi pelancongan beli-belah yang menarik.
Di balik hiruk-pikuk kotanya yang padat dan sesak, Dhaka sebenarnya menyimpan sejuta pesona dengan bazar tradisional yang meriah, pusat beli-belah moden yang serba lengkap, kedai gaya hidup di kawasan elit serta jenama fesyen tempatan yang semakin mencuri perhatian.
Jika selama ini Bangladesh dikenali sebagai antara pengeksport utama pakaian siap, tekstil dan barangan kulit dunia, tidak ramai yang menyedari bahawa ibu kota ini sebenarnya sebuah syurga beli-belah yang sarat dengan warna, ragam, dan kepelbagaian budaya yang cukup memukau.
Saya sendiri terpukau saat menyelusuri landskap bandar Dhaka yang luas, terjebak dalam arus deras pengunjung yang keluar masuk pasar dan pusat beli-belahnya yang sentiasa sibuk.
New Market, yang sebenarnya merupakan antara pasar paling lama dan terkenal di Dhaka, bersama kawasan sekitarnya seperti New Super Market, Chandni Chowk dan Gausia Market, sentiasa sesak dengan orang ramai yang membeli pelbagai barangan daripada pakaian dan kain berwarna-warni, barang kemas, jam tangan, hadiah, kasut, alat tulis, buku, barangan rumah, mainan sehinggalah ke barangan elektronik.
Kunjungan ke Dhaka tidak lengkap tanpa singgah di kawasan ini, yang pasti akan memukau anda dengan kepelbagaian dan keunikan barangan yang ditawarkan.
Tidak jauh dari kawasan yang riuh ini, berdiri megah Bashundhara City, antara pusat beli-belah terbesar di Dhaka, dengan pelbagai zon khusus bagi kategori barangan seperti elektronik, pakaian, abaya dan hijab. Kaunter penukaran wang yang terletak di tingkat bawah memudahkan urusan pelancong, sementara ruang makan di tingkat atasnya menawarkan pelbagai pilihan masakan Bangladesh dan Asia yang mampu memuaskan selera selepas penat membeli-belah.
Jika anda inginkan pengalaman membeli-belah yang lebih mewah, Jamuna Future Park menanti dengan keluasan yang mengagumkan, menjadi pusat beli-belah terbesar di Bangladesh dan antara yang terbesar di Asia Selatan. Di sini, anda boleh meluangkan masa berjam-jam meneliti setiap kedai yang menjual barangan berjenama tempatan dan antarabangsa.
Police Plaza, Concord Shopping Mall, dan Pink City Shopping Complex di kawasan elit Gulshan juga sering menjadi pilihan mereka yang mahu berbelanja dalam suasana yang lebih selesa.
Hakikatnya, suasana beli-belah di Dhaka begitu hidup dan pelbagai, sehingga memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk meneroka tempat yang paling menarik.
Namun, kesesakan jalan raya di kota yang padat dengan 23 juta penduduk ini boleh menguji kesabaran sesiapa sahaja. Dhaka adalah antara kawasan metropolitan terbesar di Asia dan antara yang paling padat di dunia, menjadikan kesesakan lalu lintas sebagai pengalaman yang tidak dapat dielakkan.
Saya sendiri pernah terperangkap di tengah-tengah lautan beca tradisional berkuasa bateri dan beca elektrik pada waktu puncak, serta sekali terhenti lebih dua jam dalam perjalanan pulang dari Cox’s Bazar, bandar peranginan pantai yang terkenal.
Namun begitu, dengan perancangan bijak – mengelak waktu puncak dan menyesuaikan jadual mengikut keadaan trafik, saya berjaya menikmati keindahan Dhaka tanpa terlalu terbeban dengan kesesakan jalannya. Menggunakan beca auto berkuasa CNG dan beca elektrik untuk perjalanan jarak dekat juga banyak membantu dalam mengharungi lorong-lorong sempit kota ini.
Pemilihan lokasi penginapan juga memainkan peranan besar di Dhaka. Kawasan seperti Gulshan, Banani dan Dhanmondi yang menempatkan hotel bertaraf antarabangsa, menara korporat moden, pejabat diplomatik dan restoran mewah sering menjadi pilihan pelawat asing, menawarkan pengalaman setanding kawasan elit di Kuala Lumpur.
Dhaka ialah gabungan indah antara moden dan tradisional, menjadikan pengalaman membeli-belah di sini penuh dengan warna, ragam, dan memori yang akan terus dikenang.-TVS