Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebanyak 23 premis musnah dalam kebakaran yang berlaku di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang di sini awal pagi tadi. Foto Bernama

Api marak dengan cepat, mangsa tidak sempat selamatkan barang

ByBernama

BAGAN DATUK, 28 Jun: Seorang mangsa kebakaran yang memusnahkan 23 premis di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang dekat sini awal pagi tadi, mendakwa api marak terlalu cepat dan mereka tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan berharga.

Chan Huan Peng, 56, berkata kebanyakan penghuni yang terlibat sedang tidur, selain ada antara pemilik tiada di rumah masing-masing kerana sedang bercuti.
Chan berkata dia dikejutkan oleh abang iparnya apabila terhidu bau asap dan kemudian diberitahu rumah jiran mereka terbakar.

“Apabila saya menjenguk keluar rumah menerusi tingkap, saya lihat rumah jiran di belakang rumah saya sedang terbakar. Api merebak terlalu cepat dan saya bersama abang ipar sempat menyiram air ke bahagian belakang rumah kami.

“Kemudian saya bantu menyiram air ke dinding rumah jiran yang lain kerana ketika itu mereka sedang bercuti di Kuala Lumpur. Suasana ketika itu memang panik sehingga pihak bomba sampai ke lokasi,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Chan berkata walaupun kejadian itu memusnahkan banyak rumah penduduk, namun beliau berasa lega tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Chan Huan Han, 40, berkata ketika kejadian beliau sedang tidur bersama isteri dan anak tunggalnya sebelum menerima panggilan telefon daripada ibunya yang bercuti di Melaka memaklumkan kebakaran sedang berlaku.

“Saya kejutkan isteri untuk membawa anak kami keluar dari rumah. Di luar rumah orang ramai sedang cuba memadamkan api daripada merebak lebih besar.

“Apabila api merebak sangat cepat, kami jadi cemas dan panik sehingga tidak sempat berbuat apa-apa selain daripada menyelamatkan diri serta menunggu pihak bomba tiba,” katanya.

Chan berkata selepas berjaya membawa keluar keluarganya daripada rumah itu, dia bersama penduduk yang lain terus membantu pihak bomba memadamkan api.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi tadi, sebanyak 23 premis membabitkan 19 rumah, sebuah rumah ibadat bukan Islam, dua kedai makan dan sebuah kedai runcit musnah.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan