WAKAYAMA, 28 Jun: Empat ekor panda gergasi yang dipinjamkan ke sebuah zoo di barat Jepun telah dihantar pulang ke China pada Sabtu, menjelang tamat tempoh perjanjian pajakan mereka, lapor Agensi Berita Kyodo.
Rauhin yang berusia 24 tahun bersama anak-anaknya – Yuihin, 8, Saihin, 6, dan Fuhin, 4 – telah meninggalkan taman hiburan Adventure World di Shirahama, Wilayah Wakayama untuk ke Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi Chengdu di Wilayah Sichuan, China, menurut pengendali zoo itu.
Kepulangan empat panda gergasi itu bermakna hanya tinggal dua ekor panda di Jepun dengan kedua-duanya berada di Ueno Zoological Gardens, Tokyo dan dijadualkan untuk dipulangkan ke China pada Februari tahun depan.
Kira-kira 1,400 pengunjung beratur di taman itu sebelum ia dibuka untuk tontonan awam terakhir pada Jumaat dan sekitar 3,000 orang menghadiri majlis perpisahan mereka.
“Sedih apabila mereka kembali ke China serentak. Saya berharap panda gergasi itu kekal sihat di China,” kata Chisato Noda dari Nagoya.
“Saya ingin ke China untuk melihat mereka. Mungkin saya akan merancang perjalanan,” kata Yumi Yokoyama dari Ageo, Wilayah Saitama, berhampiran Tokyo.
Kali terakhir panda gergasi itu dipamerkan di ruang pameran luar adalah pada Mei lepas. Sepanjang bulan lepas, orang ramai hanya dapat melihat mereka di dalam bilik berasingan di mana mereka dikuarantin sebelum perjalanan.
Jurucakap kerajaan China Guo Jiakun pada Jumaat berkata China dan Jepun telah menjalin “hubungan kerjasama yang baik” menerusi usaha pemuliharaan dan penyelidikan panda.
“Kami bersedia untuk terus meningkatkan pertukaran dan kerjasama dengan Jepun serta rakan kongsi lain di seluruh dunia bagi bersama-sama menyumbang kepada perlindungan spesies terancam ini,” katanya pada sidang akhbar di Beijing.
Zoo di Wilayah Wakayama itu memulakan program pembiakan bersama dengan pusat penyelidikan panda China pada 1994, dan telah berjaya membesarkan 17 anak panda, jumlah terbanyak di luar China.-TVS