LAWAS, 27 Jun: Seorang lelaki warga emas maut manakala dua lagi penghuni sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah teres setingkat di belakang AB Motor, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Clarence D. Primus Tiandun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.18 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres setingkat yang musnah sepenuhnya. Mangsa dikenali sebagai Dudol Karim, 89, ditemukan rentung di dalam bilik rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dua lagi penghuni lelaki, masing-masing berusia 32 dan 31 tahun berjaya menyelamatkan diri tanpa kecederaan.
Api berjaya dikawal dalam tempoh lima minit dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 pagi.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.-TVS