Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah ketika ditemui TVS. Foto Ezzany Yusuf (TVS)

Sarawak, Indonesia perkukuh hak pendidikan anak pekerja migran

ByMuqri Aziz

BINTULU, 27 Jun: Kerajaan Sarawak bekerjasama rapat dengan Kerajaan Indonesia untuk memastikan anak-anak pekerja migran di negeri ini mendapat akses pendidikan yang sah dan berkualiti menerusi penubuhan Community Learning Centre (CLC) di ladang-ladang sawit.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, walaupun pekerja migran tidak dibenarkan membawa keluarga mereka ke Sarawak menurut undang-undang, usaha sama tiga pihak iaitu Sarawak, Malaysia dan Indonesia telah memberi peluang pendidikan kepada kanak-kanak ini.

“Hak kanak-kanak, tidak kira kanak-kanak migran ataupun kanak-kanak Sarawak ini, mereka dapat menikmati pendidikan ini sebab itu merupakan hak asasi seorang kanak-kanak dan kita mahu pastikan semua kanak-kanak kita tidak kira siapa mereka ini akan dapat pendidikan untuk masa depan mereka,” katanya kepada TVS selepas Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak 1447H/2025M di Dewan Suarah Bintulu hari ini.

Beliau mengulas hasil lawatan beliau bersama dua Timbalan Menterinya, Datuk Rosey Yunus dan Mohammad Razi Sitam ke Indonesia bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Pemberdayaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak, Arifah Choiri Fauzi pada Rabu lalu.

Fatimah menyerahkan cenderamata kepada Menteri Pemberdayaan Wanita Indonesia sebagai tanda persahabatan dan kerjasama memperkasa wanita dan kanak-kanak serantau. Foto Media @ YBDSFA

Lawatan tersebut bertujuan meningkatkan komitmen bersama dalam kerjasama serantau untuk memperkukuh kesaksamaan gender serta perlindungan wanita dan kanak-kanak.

Fatimah mendedahkan, data terkini Pejabat Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching menunjukkan terdapat 16 CLC berdaftar di Sarawak dengan 968 murid dan 60 guru, manakala 46 CLC lagi sedang dalam proses pendaftaran, melibatkan 1,207 murid dan 99 guru.

Fatimah berkata, usaha ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala dengan Indonesia tetapi juga membantu mengekalkan tenaga kerja ladang sawit di Sarawak apabila pekerja migran berasa lebih selesa untuk terus bekerja kerana anak-anak mereka mendapat akses pendidikan.

CLC di Sarawak menggunakan kurikulum serta guru dari Indonesia dengan kos pengajian ditanggung oleh kerajaan republik tersebut, manakala pemilik ladang menyediakan premis untuk pelaksanaan kelas.

“Kita mahu pemilik ladang mempunyai rasa tanggungjawab kerana ia bukan hanya soal pendidikan, tetapi juga menjamin keselamatan dan suasana pembelajaran kondusif untuk kanak-kanak dan guru,” katanya.

Fatimah berkata, langkah ini juga selaras dengan aspirasi Sarawak untuk membasmi kemiskinan melalui pendidikan selari dengan strategi kemakmuran ekonomi di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Sementara itu, usaha Sarawak memperkukuh pendidikan kanak-kanak migran turut mendapat pengiktirafan Kerajaan Indonesia yang berminat untuk memperluas kerjasama ini dalam memastikan agenda pendidikan inklusif terus diperkasa di kedua-dua negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan