BINTULU, 27 Jun: Kerajaan Sarawak terus menegaskan komitmennya untuk menjadikan nilai-nilai Islam sebagai asas dalam pentadbiran dan pembangunan wilayah ini dengan menjadikan pendekatan Nabi Muhammad SAW sebagai model khususnya dalam aspek keadilan, ilmu dan ekonomi inklusif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, agama dan kuasa adalah dua elemen penting yang tidak boleh dipisahkan dalam membentuk masyarakat yang adil dan sejahtera.
“Semangat hijrah Rasulullah SAW menjadi inspirasi Sarawak menuju kemajuan melalui ekonomi hijau, digitalisasi, keterangkuman sosial dan pembangunan lestari,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak 1447H/2025M di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.
Menurutnya, Sarawak kini berada dalam kedudukan fiskal yang kukuh menerusi dasar berwawasan seperti Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak (SSWFF) dan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang memacu sektor seperti hidrogen hijau, pertanian moden, pelaburan strategik dan teknologi digital.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak komited terhadap pembangunan sosial yang holistik dan inklusif antaranya menerusi pendidikan percuma, Skim Bantuan Khas Ibu Bersalin serta program latihan dan pensijilan profesional.
“Kerajaan juga menghargai peranan imam, guru agama, ahli lembaga amanah dan pengurusan masjid selaras dengan usaha memperkukuh institusi keagamaan sebagai teras kesejahteraan rohani dan sosial,” ujarnya.
Abang Johari menjelaskan, Kerajaan Sarawak akan terus menjunjung prinsip keadilan sosial dan memperkasa umat Islam dalam kerangka kenegaraan moden yang progresif dan harmoni.-TVS