KUALA LUMPUR, 27 Jun: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menumpukan usaha memperkasakan ekonomi pekebun kecil melalui program peningkatan pendapatan yang lebih pelbagai.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, transformasi tersebut dibuat susulan ketidaktentuan pasaran getah, mendorong pembukaan lebih banyak peluang ekonomi kepada pekebun kecil.
“RISDA bukan lagi hanya membangunkan hasil getah negara, malah turut melaksanakan program peningkatan pendapatan yang merangkumi pelbagai sektor.
“Ini termasuk pemprosesan makanan, pertanian fertigasi dan tanaman lain yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada pekebun kecil,” katanya setelah menghadiri Karnival Rasa Asli Desa RISDA 2025 di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Tambah beliau, program ini tidak terhad kepada pekebun kecil sahaja, malah terbuka kepada isteri, anak-anak atau ahli keluarga mereka yang berminat untuk terlibat sebagai usahawan desa.
Mengulas lanjut, Rubiah memaklumkan bahawa, RISDA juga membantu dalam memasarkan produk-produk usahawan desa.
“Apabila sesuatu produk itu sudah mempunyai kualiti, rasa yang baik dan potensi untuk pergi lebih jauh, maka RISDA memainkan peranan bukan sahaja dalam aspek pengeluaran makanan dan pembungkusan, tetapi juga dalam pemasaran.
“Justeru, beberapa pendekatan telah diambil bagi memperluaskan pendapatan hasil daripada produk yang dihasilkan,” jelasnya. – TVS