KENINGAU, 27 Jun: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas kenderaan Perodua Alza yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Batu 11, Jalan Keningau–Sook malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.27 malam sebelum menghantar jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau ke lokasi kejadian, kira-kira 14 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori dan Perodua Alza. Pemandu Alza didapati tersepit dan tidak sedarkan diri manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan dikeluarkan oleh orang awam,” katanya.
Pasukan bomba menggunakan peralatan Hydraulic Power Unit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Seramai sembilan anggota dari BBP Keningau terlibat dalam operasi yang tamat sepenuhnya pada jam 11.18 malam.-TVS