MUKAH, 27 Jun: Seramai 205 individu dan 156 kenderaan diperiksa manakala 12 saman trafik dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah) malam tadi.
Operasi selama hampir dua jam yang bermula jam 10 malam itu diketuai Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias melibatkan 27 anggota dari pelbagai unit termasuk Jabatan Siasatan Jenayah, Narkotik, Trafik, Pencegahan Jenayah serta logistik dan anggota Balai Polis Mukah.
“Operasi menumpukan pemeriksaan identiti, kenderaan, rondaan pencegahan jenayah dan penyalahgunaan dadah. Sebuah motosikal turut ditahan atas pelbagai kesalahan,” kata Rizal.
Rizal berkata, operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden dan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa berada pada tahap optimum.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.-TVS