JAKARTA, 27 Jun: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia kini berada pada tahap yang lebih signifikan dan strategik selaras dengan kepentingan bersama kedua-dua negara.
Beliau berkata, hubungan erat tersebut mampu menjadi landasan penting dalam menyelesaikan pelbagai isu berbangkit termasuk perkara sensitif seperti sempadan dan maritim, yang telah lama tertangguh.
“Ini adalah arahan jelas yang kita berikan kepada para menteri dan pegawai agar menjadikan hubungan ini bukan sekadar formal, tetapi lebih bermakna dan strategik,” ujar Anwar dalam sidang media bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di Istana Merdeka, hari ini.
Anwar turut menekankan bahawa isu-isu kompleks seperti pertikaian sempadan maritim boleh ditangani secara pragmatik melalui kerjasama dua hala, tanpa hanya bergantung kepada saluran perundangan yang lazimnya mengambil masa yang panjang.
“Sekiranya rundingan undang-undang masih rumit, penyelesaian secara bersama seperti penubuhan Joint Development Authority boleh dipertimbangkan, terutamanya di kawasan Ambalat, demi kesejahteraan rakyat di kawasan sempadan,” jelas beliau.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk memperkukuh potensi pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia melalui pelaksanaan langkah-langkah praktikal yang mampu merancakkan lagi kerjasama ekonomi serantau.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Indonesia atas sokongan berterusan sepanjang Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun ini selain pertemuan itu juga turut menyentuh beberapa isu serantau dan antarabangsa.
Menerusi kenyataan bersama itu, kedua-dua negara sekali lagi menegaskan pendirian tegas mereka menyokong perjuangan rakyat Palestin serta mengecam tindakan rejim Israel yang kini turut menjejaskan kestabilan serantau termasuk melibatkan Iran.
Malaysia dan Indonesia sepakat bahawa usaha perdamaian menyeluruh di Timur Tengah perlu terus digerakkan, termasuk jaminan terhadap hak rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara berdaulat.
Lawatan rasmi singkat Perdana Menteri ke Indonesia ini diakhiri dengan keberangkatan pulang ke Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang. -TVS