Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Enam nelayan dari kawasan selatan Pulau Pinang di sini, gembira dan bersyukur selepas menerima bot serta enjin baharu menerusi skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) sekali gus memberi nafas baharu kepada kehidupan mereka. Foto Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (FB)

Enam nelayan terima bot, enjin baharu menerusi SIMP

ByBernama

GEORGE TOWN, 27 Jun: Enam nelayan dari kawasan selatan Pulau Pinang di sini, gembira dan bersyukur selepas menerima bot serta enjin baharu menerusi skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) sekali gus memberi nafas baharu kepada kehidupan mereka.

Hashimi Hamzah, 50, dari unit Sungai Batu berkata beliau langsung tidak menyangka menerima bot baharu itu dan menyifatkannya ‘hadiah awal hari jadi’ sempena ulang tahunnya ke-50 pada 3 Julai nanti, selepas bot lamanya musnah akibat ribut enam bulan lepas.

”Bantuan bot baharu itu rezeki yang tidak disangka selepas hilang punca pendapatan akibat bot saya musnah sebelum ini dan bot (yang baharu) sangat bermakna kerana selama ini saya tumpang bot orang lain sebagai awak-awak untuk cari rezeki.

“Kini, saya boleh turun sendiri semula ke laut mencari rezeki dan semua pukat saya sudah siap malah dengan bot baharu ini saya boleh turun sendiri semula … lebih laju, lebih selamat dan boleh pergi lebih jauh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Silicon Island Development Sdn Bhd (SIDSB), hari ini.

Turut menerima manfaat bot dan enjin baharu ialah Hamdan Bakar, 59, Mohd Fitri Che Ros, 46, Muhammad Hidayat Che Ros,36, See Bak Chooi, 65, dan Lai Poh Liang, 64.

Bagi Hamdan Bakar, 59, dari Teluk Kumbar di sini, dia mengakui tidak pernah terlintas mampu memiliki bot baharu lengkap dengan enjin yang mempunyai kuasa lebih tinggi membolehkan kawasan tangkapan diperluas serta meningkatkan hasil pendapatan.

”Kalau ikut kemampuan sendiri, mungkin cuma mampu beli enjin 40 kuasa kuda sahaja dan bantuan bot serta enjin baharu ini satu kelegaan besar, boleh kerja dengan tenang,” katanya yang turun ke laut seorang diri sejak muda.

Seorang lagi nelayan See Bak Chooi, 65, dari Gertak Sanggul pula berkata pemberian itu membolehkannya kembali ke laut dengan lebih yakin selepas bot lamanya rosak dan tidak lagi selamat digunakan.

”Bantuan itu sebagai bukti kerajaan negeri prihatin terhadap nasib golongan nelayan tradisional dan bot baharu ini macam tukar kereta baharu. Saya boleh cari ikan dan udang lebih jauh sekarang ini memang beza dengan bot lama sebelum ini,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan