KUCHING, 27 Jun: Penganjuran Borneo International Innovation & Creativity Competition (BIICC) 2025 di Sarawak menjadi platform penting dalam memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta menyokong agenda Sarawak Maju 2030 di bawah Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Presiden Malaysia Young Scientists Organization (MYSO), Razmi Abdul Razak berkata, kerjasama MYSO dan Pertubuhan Aspirasi Guru Sarawak (PAGS) membuka peluang kepada pelajar sejak di bangku sekolah rendah untuk mengembangkan bakat serta minat dalam bidang STEM.
“Kita mahu menyemai budaya STEM dalam kalangan generasi muda agar mereka bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya ketika ditemui di acara BIICC 2025, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kelab Sains Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dr Saif Mohamed Obaid Saeed Almesmaei menyifatkan BIICC sebagai wadah penting untuk memupuk kreativiti dan inovasi pelajar.
“Acara seperti ini bukan hanya meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi tetapi juga memberi peluang untuk mereka bertukar idea, membina projek dan melihat pendekatan unik dari pelajar negara lain,” ujarnya.
BIICC 2025 berjaya menarik lebih 650 penyertaan fizikal dari seluruh Malaysia selain 1,000 penyertaan dalam talian.
Lebih 10 negara mengambil bahagian termasuk India, Filipina, Thailand dan UAE menjadikan ia antara platform inovasi pelajar terbesar di rantau Borneo tahun ini.-TVS