KUALA LUMPUR, 27 Jun: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyeru semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak membangkitkan isu perkauman atau keagamaan yang boleh menggugat keharmonian negara.
Sultan Ibrahim bertitah, perlembagaan menggariskan nilai bersama seperti keadilan, kuasa, tanggungjawab dan muafakat yang wajar dijunjung oleh seluruh rakyat.
“Pemimpin masyarakat tidak seharusnya mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi, sebaliknya perlu mengislamkan politik demi kepentingan negara,” titah Baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H/2025M di MITEC, hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Sultan Ibrahim bertitah, pentas dakwah dan pengajaran agama tidak wajar dijadikan alat parti politik sebaliknya Islam sebagai agama yang lengkap harus memandu urus tadbir berlandaskan syariah bukan fahaman sempit atau liberal.
“Marilah kita menjaga kesucian agama dan membentuk penyatuan umat yang harmoni,” titah Baginda.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menyeru kepimpinan negara agar mencontohi sifat Rasulullah SAW yang adil dan tidak menzalimi golongan lemah demi membina negara yang bukan sahaja berjaya di mata dunia tetapi juga diberkati Ilahi.
Pada majlis itu, bekas Mufti Johor Datuk Seri Dr Nooh Gadot diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1447H/2025M manakala Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.-TVS