KOTA KINABALU, 27 Jun: Seramai 140 pelajar Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengetengahkan produk makanan inovatif ciptaan mereka sempena FoodFest’25 yang berlangsung di Kampus UMS.
Festival bertemakan Taste the Future of Flavour itu menampilkan dua segmen utama iaitu pertandingan pembangunan produk makanan dengan 64 pelajar dan pameran inovasi sistem makanan mampan disertai 76 pelajar yang memberi fokus kepada produk berasaskan buah-buahan tropika dan sistem makanan lestari.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menerusi teks ucapan yang dibacakan Pembantu Menteri, Datuk Harun Durabi berkata, festival tersebut menunjukkan peranan penting universiti dalam menghubungkan ilmu, penyelidikan dan teknologi kepada pasaran.
“Ia seiring dengan aspirasi kerajaan Sabah untuk memperkasa ekonomi luar bandar melalui inovasi lestari yang meningkatkan daya saing komuniti,” katanya.
Dekan FSMP, Prof Dr Hasmadi Mamat berkata, program tersebut turut mendapat sokongan industri seperti MaSDa, Adabi, KPD, BTC Berhad dan Shangri-La Rasa Ria Resort sejajar dengan komitmen UMS menjalin kerjasama strategik dalam pembangunan produk melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan inovasi makanan dan gerai terbaik.-TVS