MIRI, 26 Jun: Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun cedera ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah yang turut memusnahkan sebuah kereta di Tudan Desaras di sini, tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 10.09 malam dengan menggerakkan 15 anggota BBP Lutong dibantu BBP Lopeng ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah berstruktur separuh kekal.
“Api pada ketika itu masih marak membakar keseluruhan rumah tersebut, kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setelah membuat size up berpandukan konsep RECEO pihak bomba Lutong membuat pemadaman secara defensive dengan menggunakan dua pancutan salur bantu mula dan satu pancutan satu aliran 300 kaki air daripada pam pili bomba.
“Pihak bomba Lopeng memadam dengan satu pancutan salur bantu mula pam pili bomba sehingga api padam sepenuhnya.
“Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.-TVS