Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (dua dari kiri) bersama dif-dif kenamaan pada Majlis Doa Akhir Tahun 1446H dan Awal Tahun 1447H Peringkat Sarawak. Foto UKAS

TYT Sarawak, isteri serikan sambutan Ma’al Hijrah di Bintulu

ByMuqri Aziz

BINTULU, 26 Jun: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi malam ini menghadiri Majlis Doa Akhir Tahun 1446H dan Awal Tahun 1447H Peringkat Sarawak yang berlangsung di Masjid Assyakirin Bahagian Bintulu di sini.

Pasangan kenamaan itu tiba di masjid tersebut kira-kira jam 6.15 petang tadi diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) disambut meriah oleh penduduk setempat.

Ketibaan mereka turut disambut oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa akhir dan awal tahun sebagai tanda kesyukuran serta penghayatan terhadap peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Kota Madinah diikuti dengan solat Maghrib secara berjemaah.

Program diteruskan dengan bacaan Surah Yaasin dan Tahlil untuk Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, isteri kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dipimpin Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi sebelum Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin menyampaikan takzirah khas yang bertajuk “Hijrah: Ummah Maju Makmur.”

Sejurus selesai solat Isyak berjemaah, Tun Dr Wan Junaidi dan isteri turut beramah mesra serta menjamu selera bersama pemimpin dan penduduk pelbagai kaum dan agama di sini bagi meraikan keharmonian dan perpaduan masyarakat negeri ini.

Bahagian Bintulu menjadi tuan rumah bagi sambutan kali ini yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan berakhir esok dengan kemuncaknya ialah Majlis Perhimpunan Sambutan Ma’al Hijrah di Dewan Suarah Bintulu.

Tun Dr Wan Junaidi dijadualkan merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2025M sebelum menyempurnakan pengurniaan Anugerah Ma’al Hijrah 1447H, pada esok.

Bertemakan “Ummah Maju Makmur”, program anjuran Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) ini bertujuan memperingati peristiwa bersejarah Hijrah Nabi Muhammad SAW di samping memperkukuh semangat perpaduan dan kasih sayang dalam kalangan umat Islam. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan