BINTULU, 26 Jun: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, mengadakan lawatan mesra ke Pasar Tamu Bintulu hari ini bagi menyantuni para peniaga tempatan.
Menurut kenyataan Astana Negeri Sarawak, sesi walkabout itu bertujuan membolehkan Tun Dr Wan Junaidi dan isteri berinteraksi secara langsung dengan masyarakat tempatan serta meninjau suasana perniagaan di sekitar bandar Bintulu.
“Menerusi kesempatan ini, pasangan itu turut berkesempatan bertanya khabar serta merakam gambar kenang-kenangan bersama para peniaga tempatan.
“Mereka mendoakan agar para peniaga di tamu ini terus berjaya dalam urusan perniagaan mereka serta sentiasa mendapat sokongan padu daripada orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Pasar Tamu ini sangat terkenal menjual pelbagai produk tempatan dan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran serta produk-produk kering seperti ikan masin, ragi, rokok daun nipah, kapur, cincaluk, udang kering, keropok, kuih-muih dan bermacam-macam lagi barangan tempatan.
Terdahulu, ketibaan Tun Dr Wan Junaidi dan isteri disambut oleh Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming serta turut ditemani Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Tun Dr Wan Junaidi serta isteri tiba di Bintulu pada jam 10.40 pagi tadi bagi memenuhi jemputan Kerajaan Sarawak untuk menghadiri Majlis Doa Akhir Tahun 1446H dan Awal Tahun 1447H di Masjid Assyakirin malam ini serta Majlis Perhimpunan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2025M di Dewan Suarah Bintulu esok pagi.
Seusai sesi walkabout, Tun Dr Wan Junaidi dan isteri beredar meninggalkan Pasar Tamu Bintulu dan seterusnya menghadiri Jamuan Makanan Tengah Hari di Restoran Eve Garden. – TVS