KUCHING, 26 JUN: Pembangunan akar umbi terus menjadi keutamaan Kuching City FC apabila tiga pemain daripada skuad bawah 23 tahun akan diserapkan ke pasukan utama bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.
Pengerusi kelab, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada dasar kelab untuk memastikan kesinambungan pembangunan bakat tempatan di peringkat senior.
“Kami komited untuk memberi peluang kepada pemain muda,” katanya ketika ditemui TVS selepas mengadakan rakaman Sukan TVS di sini, pada Rabu.
Katanya lagi, setiap musim, sekurang-kurangnya beberapa pemain daripada skuad bawah 23 tahun akan dinaikkan ke skuad utama sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan jangka panjang kelab.
Menurut Fazzrudin, langkah itu dilihat mampu memberi pendedahan kompetitif kepada pemain muda sambil mengukuhkan struktur pembangunan bakat tempatan yang menjadi antara kekuatan utama Kuching City sejak beberapa musim kebelakangan ini.
Tambahnya lagi, gabungan pemain muda dan senior menjadi teras penting kepada identiti pasukan, selain memupuk semangat kekitaan dan kesetiaan terhadap kelab.