KUCHING, 26 Jun: Penempatan guru di Sarawak kini berada pada tahap memuaskan dengan kadar pengisian melebihi 90 peratus, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Menurut beliau, meskipun angka tersebut belum mencapai tahap 100 peratus, ia masih dianggap mencukupi untuk memenuhi keperluan pendidikan semasa, khususnya dalam memastikan pelajar di luar bandar, tidak tercicir dalam subjek penting.
“Penempatan guru di Sarawak kini melebihi 90 peratus. Namun, angka ini tidak mencecah 100 peratus kerana terdapat faktor seperti persaraan dan pertukaran guru yang berlaku dari semasa ke semasa, sama seperti penjawat awam yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengerami Gawai i-CATS Segulai Sejalai 2025 di i-CATS Kuching, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan pelajar, terutamanya yang berada di luar bandar, mendapat akses kepada guru bagi subjek penting seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
“Buat masa ini, kita boleh katakan jumlah guru yang ada adalah mencukupi,” jelasnya.
Kerajaan negeri terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk memastikan penempatan guru dilaksanakan secara berterusan, termasuk memberi keutamaan kepada anak jati Sarawak bagi mengurangkan kadar penolakan dan meningkatkan keberkesanan pengajaran. -TVS