MIRI, 26 Jun: Sebuah rumah separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Tudan Desaras malam tadi yang mengakibatkan seorang lelaki berusia 65 tahun mengalami kecederaan ringan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong menerima panggilan kecemasan pada jam 10.09 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, api sedang marak membakar keseluruhan rumah berkeluasan kira-kira 30×40 kaki persegi. Sebuah kereta jenis Proton Saga BLM turut musnah 100 peratus dalam kejadian itu.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman secara defensive menggunakan dua pancutan salur bantu mula dan satu pancutan aliran 300 kaki daripada pam pili bomba.
“Pasukan BBP Lopeng turut membantu dengan satu lagi pancutan sehingga kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya. Operasi tamat pada jam 12.10 tengah malam,” katanya.
Mangsa yang mengalami kecederaan ringan diberi rawatan lanjut oleh pasukan EMRS.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.-TVS