KUALA LUMPUR, 28 Jun: Dakwaan pemandu ‘sorok’ saman tidak boleh dijadikan alasan oleh syarikat pengendali lori dan bas ekspres untuk tidak membayar kompaun yang dikenakan pihak berkuasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini permit dan kenderaan didaftarkan atas nama syarikat pengendali.
Beliau berkata, tindakan menyalahkan pemandu seolah-olah dilihat cuba melepaskan tanggungjawab memandangkan pengawasan terhadap pemandu terletak di bawah kawal selia sepenuhnya syarikat dan bukan tanggungjawab Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Saman tetap saman. Permit dikeluarkan kepada syarikat, bukan pemandu. Kita tidak boleh terima alasan seperti itu. Bila permit milik syarikat, syarikat perlu bertanggungjawab penuh.
“Apabila kenderaan disaman, syarikat pemilik tetap perlu bertanggungjawab, tidak kira siapa yang pandu lori atau bas itu,” katanya pada sidang media selepas pengumuman pendigitalan Pas MY50 di Stesen KL Sentral, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat pemandu menyembunyikan saman sehingga menyebabkan syarikat KDEB Waste Management Sdn. Bhd. merekodkan 22,017 saman aktif.
Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ mengumumkan senarai 28 buah syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertinggi atas pelbagai kesalahan.
Syarikat KDEB Waste Management Sdn. Bhd. mencatatkan saman aktif tertinggi berjumlah 22,017 manakala syarikat-syarikat bas ekpres ada 5,362 saman yang paling tinggi ialah Cepat Ekspres Sdn. Bhd. dengan jumlah 540 saman.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, pengurusan dalaman syarikat harus bertanggungjawab memantau rekod saman serta mengurus pemandu dengan lebih berkesan agar kesalahan tidak berulang. – TVS.