GEORGE TOWN, 26 Jun: Negara-negara anggota ASEAN perlu mewujudkan rangka kerja yang secara aktif mempromosikan keterangkuman gender dalam sukan serta membina ekosistem yang membolehkan semua individu berkembang secara adil dan setara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, kesaksamaan gender adalah tanggungjawab masyarakat secara kolektif serta kewajipan moral.
“Kita juga harus memperkukuh kerjasama dengan organisasi serantau dan antarabangsa untuk merangka penyelesaian baharu yang inovatif dalam menangani cabaran kesaksamaan gender dalam sukan.
“Kami menyeru semua negara anggota ASEAN agar terus memperkasakan wanita, khususnya dalam kepimpinan dan kejurulatihan sukan, selaras dengan Pelan Tindakan ASEAN Dalam Sukan 2021-2025 dan Sustainable Development Goal 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Penutup ASEAN Conference on Gender Equity in Sports 2025 di sini hari ini.
Persidangan tiga hari bermula 23 Jun lalu itu menghimpunkan para penggiat dan kepimpinan sukan dari seluruh rantau bagi berbincang dan bertukar fikiran mengenai peranan penting wanita dalam ekosistem sukan.
Adam Adli berkata, adalah penting untuk menyokong kemajuan wanita dalam peranan kepimpinan dan membuat keputusan dalam sukan yang bukan sekadar sebagai pemenuh kuota.
Katanya, penglibatan lebih ramai kaum hawa akan memperkukuh kekuatan institusi, daya tahan, inovasi dan keterangkuman.
“Kepada keluarga ASEAN kita, penyertaan aktif anda menunjukkan tekad kolektif kita,” katanya. – TVS.