PETALING JAYA, 26 Jun: Program Desa Kirana menjadi inisiatif terbaharu bagi memperkukuh ekosistem pelancongan desa secara mampan dan inklusif menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif berkenaan juga akan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat desa menerusi pelaksanaan pelancongan bersepadu.
Menurutnya, program ini juga dilaksanakan bagi mempromosikan produk pelancongan desa melalui perkhidmatan inap desa.
“Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menyaksikan jenama baharu untuk homestay atau inap desa kita, iaitu Desa Kirana, bagi mempromosi produk-produk pelancongan desa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Penyelarasan bersama Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bil 1/2025 di Petaling Jaya, pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, beberapa lokasi telah dipilih bagi melaksanakan inisiatif ini.
“Kita akan beri fokus kepada dua kampung terlebih dahulu iaitu Kampung Lonek di Negeri Sembilan dan Kampung Pulau Tanjung Surat di Johor.
“Selain itu 18 lagi destinasi sedang dikenal pasti untuk disepadukan di bawah program ini,” jelasnya.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, KKDW menjelaskan program berkenaan akan memanfaatkan kekuatan sedia ada kawasan luar bandar dengan memfokus kepada warisan dan kebudayaan, tarikan semula jadi, gastronomi, produk tradisional serra aktiviti autentik.
Desa Kirana juga mensasarkan kehadiran digital nomad – pelancong moden yang mencari pengalaman menetap di kawasan luar bandar lengkap dengan kemudahan sambungan internet dan gaya hidup santai. – TVS.