TAWAU, 26 Jun: Cubaan menyeludup dadah jenis syabu bernilai lebih RM100,000 berjaya digagalkan polis dalam satu operasi di kawasan nelayan Inderasabah, Tawau pada 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, operasi jam 3.30 petang itu dilakukan hasil maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan seorang lelaki dipercayai warga asing.
Menurutnya suspek melarikan diri dan mencampakkan beg galas kelabu ke tanah sebelum berjaya ditahan walaupun bertindak agresif.
“Sebaik tiba di lokasi, suspek bertindak melarikan diri dan sempat mencampakkan beg galas berwarna kelabu ke atas tanah. Dia juga bertindak agresif semasa ditahan,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau semalam.
Pemeriksaan lanjut ke atas beg tersebut menemukan tiga bungkusan plastik berwarna hijau, setiap satu mengandungi paket lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu seberat lebih 3 kilogram.
“Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan mencecah RM105,000. Dadah itu dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan sekitar Tawau dan kawasan berhampiran,” katanya lagi.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an bekerja sebagai nelayan bagang dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan hasil ujian saringan air kencing turut mendapati dia positif Methamphetamine dan Amphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut ACP Jasmin, pihaknya juga sedang menyiasat kemungkinan wujudnya rangkaian pengedaran dadah yang lebih besar di daerah ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat atas maklumat yang disalurkan dan menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan pihak polis.
“Golongan belia dinasihatkan agar menjauhi dadah dan tidak terpengaruh dengan sindiket yang menjanjikan imbuhan lumayan kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah merosakkan masa depan mereka,” katanya. – TVS