JAKARTA, 26 Jun:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia pada esok, 27 Jun, sebagai kesinambungan hubungan diplomatik erat antara Malaysia dan republik itu.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, lawatan ini juga memperkukuh hubungan strategik sedia ada susulan lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia pada 26 dan 27 Mei lalu.
“Perdana Menteri dijadualkan mengadakan pertemuan terhad bersama Presiden Prabowo Subianto, yang merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang erat dan telah lama terjalin, khususnya di peringkat kepimpinan tertinggi,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu utama membabitkan kepentingan dua hala, menilai pencapaian Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan ASEAN-GCC-China, di samping bertukar pandangan tentang perkembangan semasa serantau dan global.
Lawatan ini turut menjadi langkah persediaan menjelang Konsultasi Tahunan ke-13 Malaysia–Indonesia yang dijadual berlangsung pada penghujung tahun ini.
Anwar akan diiringi Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Sebagai dua negara serumpun dan pengasas ASEAN, lawatan ini mencerminkan tekad bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik demi pembangunan serantau yang mampan dan sejahtera. -TVS