LAWAS, 26 Jun: Keunikan masyarakat majmuk di Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni wajar terus dipelihara bagi memastikan perpaduan dikecapi hari ini dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, semangat saling menghormati perbezaan budaya, agama dan latar belakang kaum di wilayah ini menjadikan Sarawak sebagai contoh masyarakat bersatu padu dan bertoleransi tinggi.
“Keunikan yang ada pada kita di Sarawak, walaupun berbeza dari segi budaya, adat resam, agama dan latar belakang namun kita hidup dalam semangat harmoni, bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Ngiling Tikai sempena perayaan Gawai Dayak Peringkat Daerah Lawas yang berlangsung di Rumah Panjang Meragang, malam tadi.
Pada masa sama, Awang Tengah turut menyeru masyarakat Iban di Daerah Lawas agar terus memajukan diri melalui bidang pendidikan dan latihan kemahiran.
Tambahnya, kesungguhan untuk meningkatkan keupayaan diri amat penting dalam usaha membebaskan komuniti luar bandar daripada belenggu kemiskinan selain memanfaatkan peluang pembangunan disediakan Kerajaan Sarawak.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Sam Laya Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Latip serta Penghulu Ajan Renang.-TVS