PETALING JAYA, 26 Jun: Jumlah permohonan kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi pengambilan Julai 2025 melonjak kepada 189,304 permohonan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkembangan itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 25,000 untuk sesi berkenaan pada tahun sebelumnya.
“Permohonan keseluruhan bagi program TVET untuk pengambilan Julai 2025 menunjukkan peningkatan, daripada 146,000 kepada 189,304 permohonan.
“Ini merupakan peningkatan mendadak berbanding 25,000 permohonan yang direkodkan pada tahun lalu,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan bersama Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bil 1/2025 di Petaling Jaya, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang gagal mendapat tempat di universiti disebabkan kekangan kapasiti akan ditawarkan alternatif melalui Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
“Rangkaian MTUN merangkumi enam universiti dengan tumpuan has diberikan kepada institusi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), khususnya Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang membolehkan pelajar memilih kursus yang diminati dan bersesuaian.
Selain itu, jelas beliau Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) turut ditawarkan sebagai pilihan dengan kursus profesional manakala UniKL menawarkan kursus teknikal. – TVS.