CYBERJAYA, 26 Jun: Seorang pelajar wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya ditemui mati dipercayai akibat dibunuh di sebuah kondominium di Mutiara Ville, pagi kelmarin.
Difahamkan mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak itu merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 10.28 pagi.
Katanya, mangsa dikenal pasti sebagai pelajar berbangsa Sikh berusia 20 tahun.
“Siasatan di tempat kejadian tidak menemukan kesan pecah masuk manakala pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala,” katanya memetik laporan media.
Beliau memberitahu mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu memetik laporan Malaysia Tribune, Norhizam berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan pukulan objek tumpul di kepala serta tiada kesan kecederaan yang dikaitkan dengan jenayah rogol.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Husny Hussein di talian 012-9307860.
“Polis juga meminta supaya masyarakat tidak menyebarkan berita tidak benar yang boleh menggangu siasatan,” katanya. -TVS.