Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pelajar lelaki berusia 17 tahun tersebut mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan. Foto hiasan Envato

Pelajar Kolej Vokasional Banting maut, motosikal terbabas

ByBernama

SHAH ALAM, 26 Jun: Seorang pelajar Kolej Vokasional Banting yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kanchong, Kuala Langat dekat sini, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di kilometer 32 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata dalam kejadian pada 5.10 petang, pelajar lelaki berusia 17 tahun tersebut mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z dari arah Telok Datok menghala ke Banting, berada di tengah-tengah antara lorong kanan dan kiri sebelum hilang kawalan lalu terjatuh ke lorong kanan.

“Kemudian sebuah lori jenis Nissan tanpa muatan sedang bergerak di lorong kanan telah melanggar penunggang dan motosikal tersebut. Akibat pelanggaran itu mangsa dan motosikalnya terperosok di bawah lori serta digilis tayar belakang sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Akmalrizal berkata siasatan lanjut mendapati mangsa mempunyai lesen memandu dan memakai topi keledar ketika kejadian.

Beliau berkata pemandu lori lelaki warga tempatan berusia 50-an yang tidak mengalami kecederaan dan waris mangsa serta saksi bebas telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 bagi membantu siasatan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan