SERIAN, 26 Jun: Nilai HEMAT yang diperkenalkan Kerajaan Madani disaran menjadi amalan dalam kalangan warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, bagi memperkukuh integriti dan keberkesanan dalam perkhidmatan.
Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata nilai HEMAT – akronim kepada Hijrah, Empati, Minda, Apresiasi dan Telus – memberi penekanan kepada budaya kerja cermat, berintegriti serta berorientasikan hasil, selari keperluan semasa dalam pengurusan sumber awam.
“Nilai ini menyeru penjawat awam untuk bertugas secara cekap, bertanggungjawab dan berhemat dalam membelanjakan dana kerajaan, selain mengamalkan pemikiran nilai untuk wang (value for money),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Sarawak di Balai Bomba Serian di sini, hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan nilai HEMAT telah digariskan menerusi surat edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 18 April 2023 kepada semua agensi kerajaan.
Jamri turut menekankan kepentingan mematuhi larangan membuat kenyataan awam tanpa kelulusan, sebagaimana terkandung dalam surat KPPA bertarikh 19 Jun 2024, mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395].
“Anggota bomba tidak dibenarkan mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi jabatan atau mendedahkan kelemahan dasar kerajaan,” tegasnya.