KUCHING: Karnival Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka Betong 2025 akan bermula esok di padang bola sepak Pusat Sukan Riveria, Debak, Betong.
Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Saiful Hanizam Suhaini, perlawanan pembuka tirai akan melibatkan dua pasukan dari Kumpulan A iaitu MVS FC dan Loy 69, yang dijadualkan bermula seawal jam 7.50 pagi.
“Sebanyak 18 perlawanan akan berlangsung sepanjang hari Jumaat esok, dengan perlawanan pembuka tirai antara MVS FC dan Loy 69 bermula pada jam 7.50 pagi,” ujarnya kepada TVS hari ini.
Saiful Hanizam memaklumkan bahawa perlawanan pada hari tersebut melibatkan pasukan dari tiga kumpulan iaitu Kumpulan A, B dan C.
Seterusnya tambahnya pusingan suku akhir dan separuh akhir dijangka berlangsung pada hari Ahad.
Secara keseluruhan, katanya sebanyak 27 pasukan mewakili pelbagai kelab handalan dari seluruh Sarawak akan bersaing dalam karnival kali ini untuk merebut gelaran juara.
“Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 beserta pingat dan piala.
“Naib juara pula akan menerima hadiah wang tunai RM2,000 bersama piala dan pingat. Manakala dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir akan menerima wang tunai RM1,000 serta pingat sebagai pemenang bersama tempat ketiga,” tambahnya.
Majlis penangguhan karnival akan diadakan pada 29 Jun ini dan dijangka disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam. – TVS