KUCHING, 26 Jun: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) menafikan pernah melantik mana-mana individu, ejen atau pihak ketiga untuk menawarkan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi.
MEITD dalam satu kenyataan menegaskan, tawaran berkaitan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) hanya dikendalikan melalui saluran rasmi Kerajaan Sarawak.
“Kementerian tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menguruskan tawaran pendidikan percuma, termasuk Skim FTES. Sebarang urusan berkaitan pendidikan percuma mesti disahkan melalui saluran rasmi,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut memandang serius tindakan segelintir pihak yang menjanjikan peluang pengajian percuma dengan mengenakan bayaran atau imbuhan tertentu kepada orang awam.
“Tindakan sedemikian adalah tidak sah dan boleh dianggap sebagai cubaan penipuan. Kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama Kerajaan Sarawak untuk kepentingan peribadi,” tegasnya.
Sehubungan itu, MEITD menggesa orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang meragukan.
Sebarang percubaan penipuan atau maklumat mencurigakan hendaklah dilaporkan segera kepada pihak berkuasa.
Kenyataan rasmi berkaitan skim berkenaan hanya akan dikeluarkan oleh MEITD menerusi saluran komunikasi rasmi Kerajaan Sarawak.