LIMBANG, 26 Jun: Umat Islam digalakkan menjadikan Maal Hijrah sebagai titik permulaan memperbaharui diri ke arah yang lebih baik, kata Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah itu menegaskan bahawa Maal Hijrah bukan sekadar perubahan tahun, tetapi lambang tekad memperbaiki akhlak, iman, dan amal dalam kehidupan seharian.
“Marilah kita sama-sama meneladani semangat hijrah Rasulullah SAW, semangat keimanan, pengorbanan dan perpaduan baginda.
“Dalam suasana dunia yang penuh cabaran hari ini, hijrah kita adalah dalam bentuk memperkukuh nilai-nilai murni, meningkatkan ilmu dan amal serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat, negeri dan negara, katanya dalam dalam kenyataan hari ini.
Dr Abdul Rahman berharap agar tahun ini membawa lebih banyak keberkatan, keamanan dan kemajuan buat masyarakat khususnya masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota.
“ Teruskan menyokong pembangunan yang menyeluruh demi kesejahteraan kita bersama,”katanya lagi.
Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1447H / 2025M kepada seluruh umat Islam khususnya warga Bukit Kota. -TVS.