Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lotong kelabu lazimnya mendiami hutan paya bakau dan hutan riparian. Foto SFC

Lotong kelabu boleh ditemui di empat taman negara di Sarawak

BySaibi Gi

KUCHING, 26 Jun: Bagi pencinta alam dan peminat hidupan liar, Sarawak menawarkan peluang unik untuk menyaksikan sendiri spesies lotong kelabu di habitat semula jadinya, khususnya di empat taman negara utama negeri ini.

Menurut hantaran Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Facebook hari ini, spesies primat pemalu berwarna kelabu keperakan itu boleh ditemui di Taman Negara Tanah Lembap Kuching, Taman Negara Paya Bakau Rajang, Taman Negara Maludam dan Taman Negara Bako.

“Jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri keindahan lotong kelabu di habitat semula jadi mereka.

“Sama ada anda menyusuri hutan paya bakau atau menyusur sungai yang indah, jangan lupa perhatikan sekeliling, mungkin ada seekor lotong kelabu sedang memerhati anda dari atas pokok,” menurut SFC sambil menyeru orang ramai agar sentiasa peka terhadap kepentingan memulihara hidupan liar Sarawak.

Empat taman negara yang menjadi habitat lotong kelabu. Foto SFC

Spesies ini tergolong dalam kategori rentan (vulnerable) dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) dan Dilindungi Sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 (WLPO).

Lotong kelabu lazimnya mendiami hutan paya bakau dan hutan riparian dan memainkan peranan penting dalam ekosistem melalui diet florivor yang membantu mengekalkan keseimbangan semula jadi.

Makanan utama mereka terdiri daripada daun, buah-buahan, biji benih, bunga dan pucuk muda.

Menariknya, anak Lotong Kelabu dilahirkan dengan warna jingga terang sebelum bertukar menjadi kelabu dalam tempoh tiga bulan, satu perubahan unik yang menjadi tarikan kepada pengunjung yang bernasib baik.

SFC dalam kenyataan itu turut menekankan bahawa pemeliharaan habitat semula jadi adalah kunci utama untuk memastikan spesies ini terus hidup dan menjadi sebahagian daripada warisan biodiversiti Sarawak.

“Melindungi habitat Lotong Kelabu bermakna melindungi keseimbangan hutan kita. Setiap tindakan kecil orang awam mampu memberi kesan besar kepada masa depan spesies ini,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan