PASIR GUDANG, 26 Jun: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk membina 100 taman rekreasi madani di seluruh negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan visi kerajaan untuk membangunkan 1,000 taman rekreasi dalam tempoh 10 tahun akan datang dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara yang memiliki landskap rekreasi bertaraf dunia.
Jelas beliau, kesemua projek itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat malah menyokong kempen kementerian iaitu Industri Landskap Pemacu Pembangunan Madani.
“Kami komited untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang penuh dengan taman-taman rekreasi yang cantik dan berfungsi sebagai pusat interaksi masyarakat.
“Pembangunan 100 taman rekreasi madani ini adalah permulaan kepada visi lebih besar, iaitu pembinaan 1,000 taman dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selepas hadir Majlis Sambutan Hari Landskap Negara 2025 di Taman Bandar Bukit Layang-Layang, di sini yang dirasmikan oleh isteri Pemangku Sultan Johor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.
Tambah Kor Ming, setiap taman yang bakal dibina akan dilengkapi kemudahan moden seperti trek joging, kawasan permainan kanak-kanak, ruang riadah mesra keluarga dan landskap yang menarik.
“Projek ini juga bertujuan untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim dengan meningkatkan kawasan hijau dan memastikan kelestarian alam sekitar,” katanya. – TVS.