SERIAN, 26 Jun: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima tiga lagi Jentera Menyelamat Kebakaran Kompak (CFRT) bagi mempertingkat keupayaan operasi menyelamat di kawasan sempit dan sukar diakses.
Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata secara keseluruhan Sarawak dijadual menerima sebanyak 15 unit jentera CFRT secara berperingkat sehingga 2027.
“Setakat ini, tiga jentera telah diserahkan pada tahun lalu masing-masing kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan, BBP Lopeng dan BBP Kapit. Hari ini, tiga lagi jentera diagihkan ke BBP Bintulu, BBP Sungai Merah dan BBP Tabuan Jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Sarawak di Balai Bomba Serian di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Jamri berkata walaupun bersaiz kompak, jentera CFRT dilengkapi peralatan menyelamat setanding Fire Rescue Tender (FRT), namun menggunakan teknologi lebih moden dan ringan.
“Sebagai contoh, kita kini menggunakan peralatan berkuasa bateri menggantikan sistem hidraulik sebelum ini, sekali gus mempercepatkan proses penyediaan operasi di lapangan,” jelasnya.
Katanya, kelebihan CFRT terbukti amat membantu dalam kejadian kebakaran di kawasan sempit seperti di Kampung Selipar Putus, Tabuan sebelum ini.
“Dengan saiz yang lebih kecil, jentera ini dapat memasuki lorong sempit yang sukar dilalui FRT konvensional, membolehkan operasi pemadaman dan menyelamat dilaksanakan dengan lebih efisien,” katanya.