KAPIT, 26 Jun: Projek pembinaan Jalan Nanga Ibau/Ulu Sungai Ibau sepanjang 12.5 kilometer bernilai RM99.9 juta dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk luar bandar selepas ia siap kelak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Uggah berkata, projek yang bermula pada 5 Mei lalu itu dijangka siap dalam tempoh 36 bulan, iaitu pada tahun 2028 namun begitu kontraktor pelaksana, Sky High Construction Sdn Bhd, bersetuju menyiapkan ia dalam tempoh 30 bulan sahaja.
“Saya sangat gembira apabila kontraktor bersetuju menyiapkannya dalam masa 30 bulan. Cuaca sekarang baik, tiada masalah dari segi cuaca. Mesin-mesin yang digunakan juga baharu dan kontraktor ini telah terbukti berpengalaman berdasarkan rekod mereka,” katanya.
Uggah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Nanga Ibau/Ulu Sungai Ibau di sini petang tadi.
Beliau berkata projek itu turut merangkumi pembinaan dua jalan spur, tiga jambatan besi, kerja tanah, pemasangan culvert konkrit, sistem saliran serta kemudahan jalan raya lain.
Uggah menambah projek ini turut merangkumi pembinaan dua jalan spur, tiga jambatan besi, kerja tanah, pemasangan culvert konkrit, sistem saliran dan kemudahan jalan raya lain.
“Ia akan memberi manfaat kepada 11 rumah panjang dengan 219 pintu dan sekitar 1,900 penduduk, serta memudahkan akses ke Klinik Kesihatan Nanga Ibau dan dua sekolah rendah, SK Nanga Ibau dan SK Nanga Segenok,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Uggah mengingatkan kontraktor supaya melaksanakan projek dengan komitmen tinggi serta mematuhi jadual, spesifikasi dan kos yang ditetapkan. Beliau juga menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) memastikan projek dilaksanakan secara telus, cekap dan berkualiti.
“Saya berharap JKR Kapit dan perunding melakukan penyeliaan rapi agar projek siap tepat pada waktunya, malah lebih awal jika boleh,” ujarnya.
Uggah turut menegaskan pentingnya pemantauan melalui kehadiran tapak sepenuh masa, laporan berkala, Mesyuarat Tapak Bulanan dan penggunaan sistem JKR Project Dashboard untuk memantau kemajuan projek secara berpusat.
“Saya mahu tindakan tegas diambil terhadap kontraktor yang gagal memenuhi obligasi kontrak, termasuk penamatan kontrak jika tiada alasan munasabah,” tegas beliau.-TVS