KUCHING, 26 Jun: Kolej Universiti i-CATS terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu utama dalam pembangunan bakat serta inovasi tempatan, sejajar aspirasi Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata i-CATS membuktikan keupayaannya melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang teknikal dan profesional, malah berakar teguh pada budaya serta jati diri negeri ini.
“MEITD melihat i-CATS bukan sekadar pusat pengajian tinggi, tetapi sebagai nadi pembangunan modal insan Sarawak. Transformasi negeri ini tidak akan berjaya tanpa institusi seperti i-CATS yang menjadi pemangkin utama bakat dan inovasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengerami Gawai i-CATS Segulai Sejalai 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) komited menyokong institusi pengajian tinggi seperti i-CATS bukan sahaja dari segi dasar dan kewangan, malah menerusi pewujudan ekosistem pendidikan tinggi yang holistik dan kontekstual.
“MEITD juga akan terus mendukung usaha i-CATS memperkukuh hubungan industri, memperluas jaringan antarabangsa serta menambah baik program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sejajar keperluan Sarawak dalam sektor ekonomi digital, tenaga hijau, teknologi pertanian dan pelancongan berasaskan budaya.
“Kita mahu anak-anak Sarawak di kampung, rumah panjang mahupun di bandar melihat i-CATS sebagai tempat membina masa depan, tanpa meninggalkan jati diri dan akar budaya mereka,” katanya.