KUCHING, 26 Jun: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Dato Fazzrudin Abdul Rahman mengesahkan kehadirannya ke Kongres Luar Biasa (EGM) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dijadual berlangsung pada 30 Jun ini.
Menurut Fazzrudin, penyertaan beliau dalam kongres tersebut merupakan satu pengalaman baharu dan signifikan kerana ia adalah penampilan sulungnya dalam Kongres FAM sejak dilantik sebagai Presiden FAS.
“Insya-Allah, saya akan menghadiri Kongres FAM nanti… dan ini merupakan kongres pertama saya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas sesi rakaman program Sukan TVS di Kuching, semalam.
Tambahnya, antara perkara penting yang akan diberi perhatian dalam kongres itu adalah cadangan pelantikan badan kehakiman baharu FAM yang memerlukan kelulusan daripada ahli kongres menerusi proses pengundian.
Terdahulu, pelbagai spekulasi timbul dalam kalangan pemerhati bola sepak tanah air termasuk kemungkinan mantan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin akan dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan bahawa kongres khas tersebut diadakan bagi mendapatkan mandat ahli kongres berhubung struktur baharu jawatankuasa bebas dan badan kehakiman FAM.-TVS