PUTRAJAYA, 26 Jun: Kerajaan memutuskan untuk mengecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap import buah epal dan oren.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam selepas meneliti majoriti golongan berpendapatan rendah dalam negara membeli buah-buahan import itu susulan harganya yang mampu milik.
“Selalunya Menteri Kewangan kalau sudah buat keputusan, ia tidak akan berubah, tetapi semalam saya sebut kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri (bahawa0 ramai orang kampung, orang miskin mengeluh mahukan buah epal dan oren.
“Jadi semalam, kita (kerajaan) beri sedikit kelonggaran, meskipun import buah-buahan memang ada sedikit cukai, tetapi dikecualikan kepada buah epal dan oren,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Kota MADANI di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa peluasan SST yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini, termasuk kadar cukai sebanyak lima peratus ke atas buah-buahan import, merupakan langkah strategik bagi memperkukuh sektor pertanian tempatan dan meningkatkan tahap keselamatan makanan negara.
Menurut MOF, langkah itu dilihat selari dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan import serta memastikan hasil tani tempatan terus mendapat sokongan pasaran yang mampan.
Terdahulu, Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur, Chin Nyuk Moy menyifatkan pelaksanaan SST ke atas semua buah-buahan import akan menyebabkan peningkatan harga yang ketara.
Tegasnya, adalah tidak wajar untuk mengenakan SST kepada buah import seperti epal, oren dan anggur memandangkan ia tidak dikategorikan sebagai produk mahal. – TVS.