PUTRAJAYA, 26 Jun: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama 2025, dipacu oleh prestasi kukuh dalam sektor perkhidmatan dan pasaran buruh yang kekal stabil.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama apabila berkembang 5.0 peratus, didorong perdagangan borong dan runcit, pengangkutan serta perkhidmatan perniagaan.
“Sektor pembuatan turut mencatat pertumbuhan 4.1 peratus, didorong pengeluaran produk elektronik, pemprosesan makanan dan barangan berasaskan getah.
“Sektor pertanian pula merekodkan pertumbuhan sederhana 0.6 peratus berikutan peningkatan dalam subsektor perikanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 6/2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai jualan sektor pembuatan mencecah RM160.6 bilion pada April 2025.
Sektor perdagangan borong dan runcit pula mencatat RM151.7 bilion dalam tempoh sama, manakala pengeluaran subsektor makanan, minuman dan tembakau melonjak 11.1 peratus, diikuti produk elektrik dan elektronik (E&E) 9.8 peratus.
Indeks Pengeluaran Perindustrian turut menunjukkan peningkatan 2.7 peratus tahun ke tahun, meskipun sektor perlombongan menyusut akibat pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih rendah.
Jumlah dagangan luar negeri pada April 2025 meningkat 18.2 peratus kepada RM261.9 bilion, dipacu eksport E&E yang kekal tinggi serta permintaan domestik yang kukuh.
Inflasi utama pula kekal stabil pada kadar 1.4 peratus, manakala Indeks Harga Pengeluar (IHPR) mencatat penurunan 3.4 peratus susulan kejatuhan dalam sektor perlombongan, pembuatan serta pembekalan elektrik dan gas.
Dalam pada itu, pasaran buruh negara terus menunjukkan pengukuhan dengan jumlah guna tenaga meningkat 2.8 peratus kepada 16.82 juta orang, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.0 peratus.
“Kadar penyertaan tenaga buruh juga meningkat kepada 70.8 peratus, naik 0.2 mata peratus berbanding April 2024 dan 0.1 mata peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.