KUCHING, 26 Jun: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis bahawa sukan bola sepak wanita di negeri ini mampu berkembang pesat seperti sukan ragbi wanita, dengan syarat diberikan masa, sokongan dan pembangunan yang berterusan.
“Dulu kita tidak nampak wanita bermain ragbi, tapi lihatlah mereka sekarang, saya harus akui, prestasi ragbi wanita kita sekarang lebih baik daripada lelaki,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Bola Sepak Tertutup Belia PETRONAS 2025 (PYFCT 2025) di Baitulmakmur II, di sini hari ini.
Abdul Karim turut mengakui bahawa penyertaan dalam kalangan remaja perempuan dalam bola sepak masih memerlukan masa untuk berkembang, namun menegaskan ia adalah satu pelaburan jangka panjang yang berbaloi.
“Kadang-kadang memang ambil masa untuk tarik penyertaan golongan perempuan, tapi kita kena berlaku adil dan beri peluang yang sama rata,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak tetap komited terhadap pembangunan belia dalam semua jenis sukan termasuk bola sepak wanita, seperti ragbi sebelum ini, mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai satu kekuatan di peringkat serantau. – TVS