JULAU, 26 Jun: Usaha sedang giat dilaksanakan bagi mengenal pasti tapak sesuai untuk projek pembinaan balai bomba baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Meluan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata projek berkenaan sepatutnya ditender pada suku kedua tahun ini namun terpaksa ditangguhkan ekoran isu berkaitan lokasi pembinaan.
Menurut beliau, pembinaan balai bomba itu amat penting memandangkan balai terdekat kini terletak di Bintangor, yang mengambil masa kira-kira 40 minit untuk tiba di lokasi kecemasan.
“Saya berharap isu tapak ini dapat diselesaikan dengan segera supaya penduduk di Julau dan kawasan sekitarnya dapat menikmati kemudahan tersebut.
“Pada masa yang sama, saya juga meminta bantuan tuai rumah di kawasan ini untuk membantu kerajaan mengenal pasti tapak yang benar-benar sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan peruntukan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa Dua berjumlah RM470,000 kepada 42 rumah panjang di kawasan DUN Meluan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rolland turut menggesa Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan pembinaan klinik atau hospital baharu di kawasan tersebut.
Katanya, klinik sedia ada yang beroperasi di bangunan Majlis Daerah Julau, Meradong sejak 1970-an kini terlalu uzur dan tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah pesakit.
“Saya menyeru agar kerajaan pusat memberi perhatian terhadap keperluan ini kerana ia melibatkan kesejahteraan dan kesihatan penduduk.
“Sebagai wakil rakyat, saya amat mengambil berat perkara ini dan berharap ia dapat disegerakan,” tegasnya. – TVS