Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Bahagian Kemajuan Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jamaludin Taim ketika ditemui TVS hari ini. Foto TVS

Awal Muharam: Titik muhasabah, hijrah rohani

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 26 JUN: Hijrah dalam Islam bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi satu komitmen menyeluruh untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik berpandukan ajaran Allah SWT.

Ketua Bahagian Kemajuan Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jamaludin Taim berkata, konsep hijrah menuntut pembaharuan niat, perlakuan serta etika harian, yang seterusnya memperkukuh keimanan dan meningkatkan kualiti hidup seseorang.

“Dalam agama Islam kita, hijrah bukan semata-mata kita berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang selalu kita fahami, tetapi di dalam agama Islam kita itu, hijrah merupakan satu iltizam perbuatan kita kepada Allah SWT… kerana apa? bukan sahaja perbuatan tetapi dari sudut etika kita, setiap perbuatan yang kita lakukan itu mesti ada maksud dan tujuan,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.

Beliau berkata, hijrah juga melibatkan usaha berterusan seseorang untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, hijrah dari sudut agama kita itu adalah melihat bagaimana seseorang itu sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa, sehingga ke tahap dia perlu meninggalkan rumah dan tanah air jika perlu untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, mendalami bidang-bidang pelajaran dan terutamanya agama,” katanya lagi.

Tambah beliau, setiap tindakan manusia seharusnya dilakukan dengan kesedaran dan tujuan, bukannya sekadar mengikut rutin harian atau kebiasaan.

“Perubahan kecil dalam akhlak, ibadah mahupun cara berfikir juga termasuk dalam proses hijrah yang dituntut oleh Islam,”tambahnya.

Dalam pada itu, Jamaludin menekankan bahawa seseorang tidak perlu menunggu masa yang sempurna untuk berhijrah.

Katanya ini kerana niat dan usaha awal ke arah perubahan juga dikira sebagai satu amalan yang diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Beliau turut merujuk Surah An-Nisa, ayat 100 yang menjelaskan bahawa sesiapa yang berhijrah di jalan Allah akan menemui keluasan rezeki dan kebaikan di muka bumi.

Justeru, Jamaludin menyeru umat Islam agar menjadikan permulaan tahun baharu hijrah sebagai titik muhasabah bukan sahaja untuk menilai apa yang telah dilalui, tetapi juga untuk memperkukuh azam dan tekad dalam menuju kehidupan yang lebih bermakna dari sudut dunia dan akhirat. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan