KUCHING, 25 Jun: Kuching City FC bakal diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain import baharu bagi menghadapi saingan Liga Super akan datang, umum Pengerusinya, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Menurut Fazzrudin, tiga pemain berkenaan ialah Ronald Wanja dari Cameroon, Scott Phillip pemain kebangsaan Filipina dan Joao Pedro pemain kebangsaan Timor-Leste.
Kata Fazzrudin, pemilihan pemain import dilakukan dengan teliti dan berpaksikan kepada dua prinsip utama yang menjadi teras kelab.
“Pertama, kita mengambil kira kekangan bajet…kita tidak mahu membebankan kelab dengan perbelanjaan besar dan kedua, kita utamakan kesesuaian pemain dengan budaya dan semangat kekitaan dalam pasukan,” katanya ketika ditemui TVS selepas mengadakan sesi rakaman Sukan TVS di sini, hari ini.
Beliau menambah, kekuatan pasukan selama ini banyak bergantung kepada persefahaman antara pemain dan pemilihan import kali ini turut mengambil kira faktor tersebut.
“Kita yakin dan memberi kepercayaan penuh kepada Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak dalam membuat keputusan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa pemain tengah berpengaruh, Petrus Shitembi, akan kekal bersama Kuching City FC untuk musim akan datang.
“Saya tahu ramai yang bertanya mengenai Shitembi..saya ingin tegaskan bahawa beliau akan terus bersama kita,” katanya lagi. – TVS