Kuching, 25 Jun: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mengesahkan bahawa sehingga kini, beliau belum menerima sebarang Rang Undang-Undang (RUU) untuk dibentangkan pada sidang khas DUN yang dijadualkan berlangsung pada 7 Julai 2025.
Menurut Asfia, mesyuarat itu dipanggil berdasarkan Peraturan Mesyuarat 8(3) selepas beliau dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Premier mengenai hasrat untuk mengadakan sidang khas pada tarikh berkenaan.
“Berdasarkan itu, saya telah mengeluarkan notis untuk memanggil semua 82 Ahli Yang Berhormat menghadiri mesyuarat di DUN pada 7 Julai 2025.
“Setakat ini, saya belum menerima apa-apa rang undang-undang berkaitan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Program Parlimen Mahasiswa UiTM Cawangan Sarawak Penggal Ketiga Siri 1 bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.
Menurut Asfia, mesyuarat khas itu dijadualkan berlangsung selama satu hari sahaja, dari jam 9.00 pagi hingga 6.30 petang, namun boleh dilanjutkan sekiranya perlu mengikut Peraturan Mesyuarat 9.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada mesyuarat tersebut berkaitan dengan isu persempadanan semula, Asfia tidak menolak kemungkinan tersebut.
“Apabila saya terima rang undang-undang, seperti biasa, kita akan adakan mesyuarat pre-council, saya akan mengadakan sidang media dan terangkan kepada anda semua.
“Saya tidak tahu sama ada jumlah kerusi akan bertambah atau berkurang. Saya belum terima apa-apa rang undang-undang, jadi saya tidak boleh beri komen, walaupun saya mahu,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa DUN Sarawak tidak mempunyai kuasa untuk menentukan jumlah kerusi negeri kerana bidang kuasa tersebut terletak di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu sebuah agensi persekutuan.
“DUN tiada kuasa. Itu bidang kuasa SPR. Bukan DUN yang menentukan,” katanya. – TVS