PUTRAJAYA, 25 Jun: Malaysia akan meneroka dengan lebih lanjut Pelan Tindakan Kerjasama Halal yang dicadangkan oleh Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa mesyuarat susulan akan dilaksanakan oleh barisan Jemaah Menteri bagi menyelaras persefahaman dan memastikan perancangan pelaburan dan perdagangan dapat diteruskan.
“Tentunya bagi ekosistem halal, cadangan Presiden Japarov mengenai Pelan Tindakan Kerjasama Halal akan diterokai dengan lebih lanjut,” katanya pada sidang media bersama Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Zhaparov sedang dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia bermula hari ini.
Pada November 2024, satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama halal telah dimeterai antara Halal Development Corporation (HDC) Berhad dan Institusi Negeri Pusat Pembangunan Industri Halal di bawah Kementerian Ekonomi dan Perdagangan Republik Kyrgyz.
Tambah Anwar, mesyuarat yang bakal berlangung itu juga dijangka menyentuh beberapa perkara lain termasuk perbankan Islam, sektor pembinaan serta program-program kewangan bagi memastikan pelaburan dalam bidang-bidang tersebut dapat diperkasa dan dipertingkat.
Sementara itu, Zhaparov menyatakan komitmen negaranya untuk meneruskan pelaksanaan pembaharuan mampan bagi meransang persekitaran perniagaan yang saling menguntungkan kepada rakan kongsi, khususnya dalam sektor pelancongan, ekonomi, pertanian dan ekonomi digital serta perbankan.
Beliau turut memuji peranan Malaysia sebagai peneraju industri halal global yang memainkan peranan penting membentuk ekosistem halal yang mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Kami melihat dalam bidang-bidang ini, peluang untuk membangunkan piawaian bersama dan memasuki pasaran baharu dengan mempelbagai pengeluaran,” katanya. – TVS