Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perintah reman selama tujuh hari telah diperoleh ke atas kedua-dua suspek bagi membantu siasatan. Foto hiasan Envato

Suami isteri warga asing ditahan kes bunuh di Sibu

SIBU, 24 Jun: Polis berjaya menahan pasangan suami isteri warga Indonesia kurang 12 jam selepas penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di sebuah pondok kebun, Jalan Rantau Panjang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata kejadian disedari kira-kira jam 5.17 petang apabila seorang pengadu menemui mayat lelaki dalam keadaan berlumuran darah di lokasi berkenaan.

“Mangsa dipercayai telah meninggal dunia dan merupakan warga Indonesia berumur lingkungan 30-an tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu menahan dua suspek yang merupakan sepasang suami isteri juga warga Indonesia pada kira-kira jam 9.50 malam hari sama di tepi Jalan Teku-Pasai Siong.

“Kedua-dua suspek berumur sekitar 30 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Polis turut merampas beberapa barang kes berkaitan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, perintah reman selama tujuh hari telah diperoleh ke atas kedua-dua suspek sehingga 1 Julai 2025 bagi membantu siasatan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Zulkipli turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.

Beliau menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, ASP Mingat Bakil di talian 019-8867978 atau mana-mana balai polis berhampiran. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan